 
Kalau hidup sudah terhimpit macam-macam perkara boleh berlaku. Inilah ingkisan hidup Nurain Abdullah (bukan nama sebenar), 20, yang menceritakan kisahnya kepada wartawan AL ISLAM berhubung dirinya yang mendapat hidayah Allah s.w.t. semula setelah sekian lama menjadi liar.
Gadis yang berasal dari Kampung Sungai, Sandakan, Sabah ini berkata, dia memang dilahirkan dalam keluarga Islam, tetapi tidak merasai; nikmat menjadi Islam kerana di kampungnya, tidak ada seorang pun guru agama yang mengajar Islam tinggal di situ. Malah surau pun tidak ada. Masjid terdekat pun lebih kurang setengah hari perjalanan melalui sungai.
"Jadi kebanyakan penduduk di kampung itu, agak jauh dari realiti Islam dalam kehidupan, termasuklah keluarga saya. Boleh dikatakan kami menjadi Islam hanya pada kad pengenalan saja. Seingat saya, sejak kecil hingga berusia 10 tahun saya tidak tahu apa itu Islam. Saya cuma tahu, kam ini orang Islam. Itulah yang diberitahu ayah kepada saya," katanya.
Cerita Nurain, masyarakat di kampung itu, rata-ratanya hidup susah. Aktiviti kehidupan penduduk banyak bergantung pada sumber alam. Hasil pertanian pun hanya cukup-cukup makan saja. Jadi penduduk tidak berapa kisah sangat tentang agama kerana kebanyakan penduduk hanya tahu, nenek moyang mereka dulu telah menjadi Islam, dan mereka pun harus menjadi Islam. Soal bagaimana Islam diamalkan terserah pada apa yang ditinggalkan generasi terdahulu.
"Anak-anak yang lahir di kampung ini pun tidak berapa kisah sangat tentang Islam. Bagi kami, asal dapat makan dan tidur lena sudahlah. Bila sudah besar nanti dapat keluar dari kampung itu, dan bekerja di bandar untuk membantu keluarga," jelasnya lagi.Tanpa diduga, selepas usianya mencecah 10 tahun, bapa Nurain membuat keputusan menyerahkannya kepada sebuah keluarga angkat Cina. Menurut Nurain, waktu itu, dia tidak kisah sangat diserahkan kepada keluarga angkat kerana mereka sekeluarga hidup susah dan adik-adiknya pula ramai. Jadi demi memberi ruang kepada adik-adiknya membesar dengan ibu bapa dan juga untuk mengurangkan bebanan kedua-dua orang tuanya, dia rela mengikut keluarga angkat itu.
"Saya dibawa bapa ke bandar. Disana, saya diperkenalkan dengan seorang wanita Cina yang dikenali sebagai Auntie. Auntie kemudiannya memberi jaminan, mulai sekarang, saya akan tinggal bersamanya dan dia beri nama baru kepada saya iaitu Ai Ling. Dari bandar itu, kami menaiki sebuah kenderaan ke Kota Kinabalu.
"Dari Kota Kinabalu, Auntie bawa saya menaiki sebuah kapal yang besar ke Semenanjung. Saya rasa begitu seronok sekali dapat makan sedap dan naik kapal bersama Auntie. Sewaktu kapal itu berlabuh di Pelabuhan Klang, Auntie memberitahu saya supaya memanggilnya mama. Kata Auntie, dia tidak mempunyai anak perempuan, jadi sayalah yang akan jadi anak perempuannya nanti," cerita Nurain.
Di rumah Auntie itu, Nurain dijaga dengan baik. Dia disekolahkan sama seperti anak-anak lain. Segala keperluannya dipenuhi Auntie. Gaya hidupnya juga sudah berubah. Dia diperkenalkan dengan budaya orang Cina. Menurut Nurain, peringkat awal dia macam kekok juga, tetapi lama-kelamaan dia rasa tidak ada apa-apa, malah lebih seronok berbanding kehidupannya dahulu.
"Hari pertama sampai ke rumah mama, keluarga baru saya sambut dengan jamuan keluarga. Mama ada ramai anak lelaki, semuanya sudah dewasa. Anak bongsunya berusia 20 tahun. Mereka semua terima saya macam ahli keluarga. Sewaktu dihidangkan dengan makanan Cina, saya rasa macam takut juga untuk makan.
"Sebab ada beberapa jenis hidangan yang saya rasa ngeri untuk makan seperti hidangan daging anjing dan babi. Waktu itu, saya terbayangkan anjing dan babi yang hidup di kampung saya. Rasa kasihan pula untuk memakannya.
Kata mama, ini cuma lauk saja. Mama pun meletakkan seketul daging anjing ke mangkuk saya. Jelas mama, daging anjing ini tidak boleh dimakan banyak-banyak sebab panas. Tanpa berfikir panjang, saya pun cuba seketul daging anjing tu. Memang betul kata mama, sedap, tapi panas. Menggelodak semacam aja perut saya," cerita Nurain.
Selepas malam itu, Nurain menjalani kehidupan sebagai seorang anak perempuan kepada sebuah keluarga Cina. Identiti baru itu telah mengatur dia untuk menjadi sebegitu. Katanya, buat kali pertama dalam hidupnya, dia tidak perlu bersusah lagi. Persekolahannya juga menjadi baik dan tidak macam dulu.Namun sesuatu yang tidak dapat dilupakannya adalah aktiviti pergaulan bebas. Kerana pergaulan bebas inilah, dia mulai kenal arak dan seks. Menurutnya, ketika berusia 13 tahun, dia sering mengunjungi kelab malam, pub dan sebagainya. Aktiviti malamnya bertambah rancak, apabila ibu angkatnya tidak ada di rumah kerana urusan perniagaan.
"Waktu ini, saya tinggal berdua dengan abang angkat saya. Mama pula sering out station atas urusan perniagaan. Jadi saya dan rakan-rakan pun selalu keluar malam, pergi pub minum arak sampai mabuk. Kadangkadang kami pergi ke parti-parti arak yang dianjurkan kenalan-kenalan lain. Lama-kelamaan, saya jadi ketagihan. "Rasa gelisah saja bila tidak dapat minum arak. Lepas waktu sekolah, saya mesti cari arak. Itulah rutin harian saya selepas waktu sekolah. Di waktu ini juga, saya sudah mulai menjalin hubungan dengan teman lelaki. Saya jadi liar dan tidak dapat mengawal diri saya lagi.
"Selalunya di hujung minggu, rakan-rakan saya akan datang ambil saya untuk ke pesta arak dan maksiat. Pesta ini selalu diadakan di Danga Bay, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Port Dickson. Waktu ini, pelajaran saya sudah mulai merosot. Saya selalu ada masalah disiplin dan dimarahi guru-guru. Saya mula memberontak. Ada kalanya, saya tidak ke sekolah dan terperap di rumah saja sebab saya tidak suka dengan guru yang mengajar pada hari itu," katanya.
Kecelaruan identiti semakin kusut apabila dia tiba-tiba mengandung. Kata Nurain, pada waktu itu dia panik, namun selepas bulan kedua kandungannya gugur kerana dia makan daging anjing dengan banyak tanpa mengetahui daging anjing boleh menyebabkan kandungan gugur.
"Ketika mendapati diri saya hamil, saya cuma fikir mahu melarikan diri dari rumah, dan lahirkan bayi itu. Kemudian baru pulang semula ke rumah. Tapi tak sangka pula, selepas makan daging anjing pada suatu hari tu, kandungan saya gugur. Lepas kejadian tu, saya sudah tidak peduli lagi soal mengandung sebab saya sudah ada penyelesaiannya.
"Lebih ligat lagi apabila saya dan rakan-rakan buat pesta di sebuah pantai di Port Dickson. Namun pesta kami tidak kesampaian kerana ditangkap polis atas kesalahan terlibat dengan pesta liar. Saya cuba hubungi keluarga angkat supaya menjamin saya, namun mereka tidak mahu, dan marahkan saya kerana sudah menjadi anak yang derhaka.
"Saya menyesal dengan kesilapan saya itu dan saya biarkan undang-undang yang menentukan untung nasib saya selepas itu. Saya didapati salah dan dipenjarakan," jelasnya lagi.
Sewaktu dalam penjara, dia mengkaji dirinya. Apakah selama mi dia benar-benar menjadi seorang anak perempuan kepada sebuah keluarga Cina atau dia masih lagi Nurain ketika sebelum diambil menjadi anak angkat?
Menurut Nurain, sesekali dia terasa dirinya sudah jauh menyimpang, namun dia tidak pula berasa salah kerana selama menjadi Ai Ling, dia bebas melakukan apa saja tanpa perlu ada larangan seperti mana rakan-rakan beragama Islam.
"Pernah suatu hari, saya bergaduh berebut makanan dengan seorang warga Indonesia di penjara. Kemudian saya ditempatkan di sebuah bilik gelap. Di situlah saya banyak berfikir tentang diri saya sebagai Ai Ling dan Nurain yang telah lama mati. Perkara itu terbawa-bawa dalam mimpi dan seolah-olah saya sedang bercakap sendirian.
"Saya sedar perkara seperti mamai ini boleh berlaku jika kita berada sendirian, tapi hakikatnya saya bukan mengalami tekanan perasaan atau ilusi. Saya sedar tentang apa yang berlaku itu. Cumanya, beberapa kali saya bermimpi didatangi seorang tua mengajak saya untuk memeluk Islam. Setiap kali terlelap mata, orang tua itu datang dan ajak saya mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi Islam. Saya pernah cakap dengan orang tua tu, apa faedahnya menjadi Islam kalau nak minum arak pun tak boleh? Semua benda tak boleh buat. Kalau buat juga kena tangkap dengan penguat kuasa. Orang tua itu tersenyum saja dengan apa yang saya cakapkan itu. Kemudian saya tersedar dari mimpi.
"Bila tersedar, saya termangu dan berfikir sendirian. Waktu itulah, saya mulai sedar diri saya sebenarnya bukan Ai Ling, tapi Nurain. Tidak mungkin saya boleh lari dari asal usul saya walaupun kad pengenalan saya sudah tertulis Ai Ling," jelasnya.
Kata Nurain, selepas menjalani hukuman penjara itu, dia mengucap dua kalimah syahadah dan kembali menjadi Islam. Ujar Nurain, dia kini sedang mencari guru untuk mempelajari Islam. Usaha beliau itu dibantu oleh sebuah keluarga angkat Islam.
Berdasarkan cerita Nurain itu membuatkan meja AL ISLAM tertanya-tanya, di manakah pendakwah kita hinggakan masyarakat Islam seperti di kampung Nurain tidak kenal agama mereka. Apakah para pendakwah Islam sekarang ini hanya suka berdakwah di masjid-masjid saja hingga lupa untuk meredah duri ke kampung-kampung pedalaman?
Terpinga dengan persoalan itu, AL ISLAM cuba mencari jawapan apabila diberitahu tentang kunjungan seorang pendakwah besar ke Malaysia. Malangnya, pihak penganjur meminta sumbangan sebanyak RM5 ribu untuk mengatur temu bual itu!
Rasanya, kalau itulah nilai suara seorang pendakwah, AL ISLAM berasa cukup malu dengan Allah s.w t. Fikirkanlah, kalau para pendakwah kita mulai mengukur usaha dakwah mereka dengan wang. Apa akan jadi dengan Islam? Tidakkah suatu hari nanti Islam hanya akan jadi jenama mahal saja? Sanggupkah kita mewariskan Islam sebagai jenama itu kepada keturunan kita? Renungkanlah sedalamnya.
Sumber:
Majalah Al-Islam
|
semugo nurain terus mantapkan diri dongan isle,,,