“Lorong Haji Taib ada lima orang India buat bisnes pelacuran, Cina ada sikit, Melayu pun ada sikit, di lorong berlainan”
Ujar lelaki berusia 39 tahun, Awe, saya temui di Pasar Malam Chow Kit, Kuala Lumpur.
“Saya rasa ramai orang takut nak datang sini sebab banyak kes jenayah,” celah saya.
“Dia orang ni dah terlalu melampau. Bila nampak orang asing dari Bangladesh, Pakistan datang sini, siap paksa melanggan pelacur. Kalau tak nak dia orang tarik dan ‘pikul’ naik ke bilik. Di bilik bapa ayam ‘pau’, samun duit dan barang berharga. Pelacur tak ada pun. Kalau dapat kunci kereta, dia baling ke bawah, nanti ada pula geng dia akan selongkar kereta mangsa, ambil barang berharga macam laptop,” sambungnya.
Saya pernah terbaca kes sama dilaporkan akhbar tempatan tetapi bukan daripada sumber primer seperti Awe.
“Polis jarang buat operasi ke?,” soal saya.
Chow Kit, kawasan di bawah pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Operasi ada. Bila keluar kisah pelacuran dalam 360 dulu, sehari kemudian polis buat operasi,” katanya.
“Tetapi masalah pelacuran masih berterusan?,” soal saya lagi.
“Sekarang, pelacur remaja Melayu, muda, pun dah ada. Dia orang sewa hotel murah RM25 sejam. Bayaran ‘servis’ bincang dengan pelanggan,” tambahnya.
Selepas bertemu Awe, saya memandu ke Lorong Sultan Sulaiman I dan memasuki satu daripada lorong gelap berhampiran. Gambar pelacur tua dan sekumpulan lelaki disyaki bapa ayam dan pelanggan ‘bersidai’ saya rakamkan. Cuma satu gambar, jika dirakam berulangkali, tersilap langkah, saya menjadi arwah.
Penafian: Pihak Terjah.com tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam web ini.
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 7.0 ke atas atau Mozilla Firefox atau Safari dengan resolusi 1024 x 768 Hakcipta terpelihara @ 2010 Terjah.com