WINNIPEG, Manitoba 16 Ogos - Kanada akan memperuntukkan sehingga C$75 juta (RM241 juta) bagi menggalakkan penternak babi berhenti beroperasi selain menawarkan pinjaman untuk membantu menstruktur semula ladang babi yang berdaya maju.
Menteri Pertanian, Gerry Ritz mengumumkan dana bantuan jangka panjang untuk industri itu, semalam.
"Kita tahu penternak-penternak babi di negara ini boleh mencapai keuntungan semula tetapi kita perlu berhadapan dengan realiti cabaran dalam usaha menjadikan industri daging babi di negara ini kompetitif dan stabil," jelas Ritz di pusat penyelidikan universiti pertanian.
Selain itu, kerajaan juga akan meminta peladang-peladang menjana dana untuk menghentikan produk hasil babi sekurang-kurangnya untuk tiga tahun.
Peladang-peladang telah membuat aduan bahawa mereka kerugian C$40 (RM129) untuk seekor babi yang dijual berikutan kosnya yang tinggi sehingga memaksa mereka menjualnya pada harga potongan rendah.
Institusi kewangan akan menawarkan pinjaman jangka panjang pada kadar pasaran yang disokong oleh kerajaan bagi membolehkan penstrukturan semula ladang-ladang babi dijalankan.
Kredit jangka pendek turut akan disediakan bagi menampung kos operasi seperti makanan dan bayaran gaji.
Selain itu, kerajaan juga akan memperuntukan dana sebanyak C$17 juta (RM55 juta) bagi mencari pelanggan baru untuk hasil daging babi negara tersebut. Industri babi Kanada menghadapi krisis terbesarnya dalam tempoh 60 tahun, dengan harga makanan yang tinggi, apungan mata wang Kanada, undang-undang pelabelan makanan termasuk pengharaman eksport melibatkan kira-kira 1,000 penternak babi atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhannya. Keadaan itu mengakibatkan industri babi di negara tersebut sedikit ketinggalan sejak kebelakangan ini.
Penafian: Pihak Terjah.com tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam web ini.
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 7.0 ke atas atau Mozilla Firefox atau Safari dengan resolusi 1024 x 768 Hakcipta terpelihara @ 2010 Terjah.com