KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan terdapat pihak dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba melindungi kegiatan GISB Holdings (GISBH) seperti ditularkan di media sosial.
"Dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat. Anggota kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan siasatan berkaitan syarikat ini dijalankan dengan telus, adil dan menyeluruh.
"Pihak polis wajar diberi ruang untuk menjalankan siasatan dan seterusnya membawa sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej yang tular hari ini mendakwa terdapat hubungan rapat antara seorang bekas pegawai kanan PDRM dengan kepimpinan GISBH.
Dalam mesej itu, ia cuba menggambarkan seolah-olah seorang bekas pegawai kanan PDRM mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan GISBH yang disertakan bersama beberapa keping gambar.
Dakwaan itu turut menyebut bekas pegawai kanan itu mempunyai hubungan baik dengan pegawai kanan terkini di PDRM sekali gus dikaitkan serbuan di beberapa premis GISBH baru-baru ini gagal selepas didapati kosong dan ditinggalkan.
Mengulas lanjut dakwaan berkenaan, Razarudin berkata pihaknya sedang meneliti mesej yang tular itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
"Sebelum ini kita menerima komen mengatakan tindakan kita terhadap GISBH keterlaluan dan terkini, kita dipersalahkan kerana kononnya melindungi syarikat itu.
"Kami berharap orang ramai dapat memberi masa dan ruang kepada PDRM untuk menyiasat kes ini dengan sebaiknya," katanya. - BERITA HARIAN
KLIK > JUALAN MURAH KOLEKSI PAKAIAN DAN KELENGKAPAN RUMAH [KEMASKINI]
IKLAN BAWAH 1
KONGSIKAN: